SEJARAH SILAT GAYONG MALAYSIA

Silat Seni Gayong telah berkembang dengan pesatnya semenjak Almarhum Dato’ Mahaguru Meor Abdul Rahman mencetuskan permainan seni ini di ketika menghadapi kemaraan tentera Jepun semasa perang dunia kedua di pulau Sudong Singapura tahun 1942. Ilmu Silat Seni Gayong pertama kali telah diajar oleh Dato’ Meor kepada beberapa pemuda penduduk pulau sudung pada 11.00 pagi 17 Februari 1942 bertempat di perkarangan rumah penghulu Pulau Sudong. Bertitik tolak dari peristiwa bersejarah tersebut maka ilmu silat seni Gayong mula berkembang ke seluruh kepulauan Nusantara dan semenanjung tanah Melayu. Minat masyarakat ramai mempelajari permainan dan ilmu Silat ini melihatkan tumbuhnya pusat-pusat latihan dan gelanggang-gelanggang di pelusok kampung, daerah dan negeri. Dari sudut adat istiadat Silat Seni Gayong, Gelanggang silat merupakan suatu tempat latihan silat yang khusus dan penting dalam menyambung kesinambungan ilmu persilatan dalam rangka memartabatkan warisan kesenian budaya bangsa. Program pembangunan semula gelanggang pusat di daerah ini seumpamanya adalah kesinambungan dari usaha menyokong dan bekerjasama atas usaha pihak Kerajaan Malaysia terutama melalui Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Warisan (KEKKWA) untuk memartabatkan Kebudayaan ,Kesenian dan warisan mengangkat adat istiadat Silat Seni Gayong agar masyarakat memahami seterusnya mewarisinya. Dengan kesedaran ini usaha-usaha menjaga kepentingan dan mempertahankan warisan budaya bangsa, harus diteruskan oleh generasi masa depan agar mampu membentuk ciri masyarakat Malaysia yang berbudaya agar terus gemilang, cemerlang dan terbilang.