SEJARAH SILAT GAYONG DI PORT DICKSON

Pada tanggal 29hb Oktober 1964, DYMM Tunku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah memperkenankan perlantikan baginda sebagai penaung Silat Seni Gayong di Istana Sri Menanti Seremban, Negeri sembilan. Satu persembahan pertunjukan sempena Perdana Gayong kali kedua telah diadakan di padang Stesen Seremban pada 30 Oktober 1964. Pada tahun 1965, Sahabat karib Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bernama Kasnawi Kasdi yang sama-sama berkhidmat sebagai CID di singapura meminta Dato’ Meor mengembangkan Seni Gayong diseluruh Negeri Sembilan. Maka Dato Meor telah menghantar dua orang muridnya bernama Majid bin Isa dari Kedah ke Ampangan Seremban, Negeri Sembilan dan Harun b. Salleh (Cikgu Hj Haron Bin Hj Salleh) yang berasal dari Kota Sarang Semut Kedah ke Port Dickson Negeri Sembilan untuk mengajar ilmu silat seni Gayong. Gelanggang yang pertama di buka di Negeri sembilan adalah di Kg Air Meleleh kemudian selepas itu permainan silat telah mendapat sambutan yang mengalakan dengan pembukaan beberapa gelanggang seperti di Sg Pelek Sepang, Kg sawah Sunggala, Kg Bagan Pinang, Teluk Kemang, Rantau dan Ampangan seremban. Pada 30hb Jun 1986, Pertubuhan Silat Seni Gayong Cawangan Port Dickson telah didaftarkan dengan no. Pendaftaran. NS 661/62-137/(2) dengan nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Cawangan Port Dickson Bahagian Negeri Sembilan. Gelanggang Panglima Hitam merupakan Pusat latihan tertinggi negeri berpusat di kg Arab, Port Dickson telah dirasmikan oleh Tuan Hj Ramli Ibni Hajar Pegawai daerah Port Dickson didalam satu majlis besar-besaran pada 15 Jun 1997 dan dihadiri oleh Cikgu Siti kalsom, Cikgu Adivijaya, Cikgu Razak Abd Jalil, Cikgu Abdul Kudus Ahmad, Cikgu Ishak Hasan dan Sazali Meor Rahman selain wakil dari negeri Melaka,Selangor, Perak dan Kelantan. Semasa penghujung hayatnya Almarhum Dato’ Meor Abd Rahman telah hadir kerap kali ke daerah Port Dickson iaitu pada tahun 1988, 89 dan 91. Dalam tahun 1989, beliau telah pasak-kan dua tapak gelanggang didaerah ini dan beliau sendiri telah memberi nama Gelanggang Kg Arab sebagai Gelanggang Panglima Hitam iaitu sempena nama moyang sebelah bapa dan Gelanggang Kg bagan Pinang dinamakan Gelanggang Tuan Syed Zainal Syed Idris AlAttas sempena nama nenda sebelah Bonda. Majlis dan upacara terakhir yang dihadiri oleh Dato’ Meor Abd Rahman ialah pada 25 Mei 1991 upacara istiadat perkhataman keris Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan di Bagan Pinang Port Dickson, Negeri Sembilan. Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong telah menghembuskan nafas terakhir dan kembali kerahmatullah di Hospital Ipoh specialist Centre, Perak. Maka Silat Seni Gayong terus berkembang diseluruh negeri adat pepatih sehingga kehari ini.